Puteri Nur Sabrina Binti Rahim


PUTERI NUR SABRINA BINTI RAHIM (AIA160052)
 
Secara umumnya, apa yang dapat saya katakan ialah kehidupan masyarakat orang asli tidak seiring dengan peredaran zaman dan jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang. Oleh itu, mereka ini perlu dibantu dan diberi perhatian yang lebih.

Sepanjang program ini dijalankan, perbagai cabaran yang saya alami. Terdapat pelbagai ragam yang dapat dilihat antara masyarakat orang asli dengan peserta.

Pada hari pertama, setelah tiba di Kampung Tementong, Kuala Lipis, Pahang pada pukul 12:00 tengah hari, saya dan rakan-rakan terpaksa berjalan sejauh 700 meter untuk memasuki ke kawasan kampung sambil membawa beg yang berat. Hal ini kerana, kenderaan besar seperti bas tidak boleh memasuki ke kawasan tersebut. Oleh kerana saya sudah beberapa kali pergi ke kawasan pedalaman, oleh itu saya tidak berasa janggal apabila tiba di kampung tersebut. Saya sudah menjangka kawasan tersebut yang kurang bersih, tempat tinggal yang sangat daif kerana diperbuat daripada kayu-kayu lama yang sudah reput. Namun, ada juga segelintir rumah yang dibina daripada batu bata. Anjing-anjing perliharaan juga berkeliaran di sekitar kawasan perkampungan. Namun, semua itu tidak menjadi penyebab untuk saya tidak berasa seronok di sana. Pada malam pertama di sana, kami dibahagikan kepada beberapa penduduk kampung bagi aktiviti bersama keluarga angkat. Ketika itu, saya agak berdebar sewaktu menanti pembahagian keluarga angkat. Aktiviti ini merupakan kali pertama saya mempunyai keluarga angkat dari masyarakat orang asli. Pada mulanya, agak janggal apabila berbual bersama ibu dan bapa angkat oleh sebab mereka masih segan dan terkejut dengan kehadiran saya. Namun, apabila mereka sudah mula bercerita, saya merasakan seolah-olah mereka sudah lama mengenali saya. Sememangnya, mereka sangat peramah jika kita dahulu yang mengambil langkah untuk mendekati mereka. Saya juga berasa gembira kerana dapat dipertemukan dengan keluarga yang bahagia seperti mereka.

Pada keesokan hari, kami bergotong-royong membersihkan kawasan kampung. Saya mengambil peluang untuk mengecat tadika yang sudah lama tidak ber-cat. Saya juga sempat belajar cara membuat origami yang sudah lama saya ingin belajar cara membuatnya. Pada slot ‘My Dream’, yang dipimpin oleh ANSOS sendiri, saya belajar untuk mengawal tingkah laku kanak-kanak orang asli yang agak aktif sedikit jika dibandingkan dengan kanak-kanak di bandar. Saya juga belajar erti kesabaran apabila mereka tidak mematuhi arahan kami. Pada malam kebudayaan, saya dan penduduk kampung bersama-sama menari tarian ‘sewang’ yang diketuai oleh tok batin. Bahawasanya, pengalaman seperti ini tidak dapat dirasai di luar sana.

Pada pagi hari ketiga, kami mengagihkan barangan untuk disumbangkan kepada penduduk kampung. Disamping memberi sumbangan, kami juga tidak lupa untuk berkenalan antara satu sama lain. Seterusnya, kami mengikuti aktiviti sukaneka di mana semua penduduk kampung dan pelajar bersama-sama turun untuk menjayakan program ini. Walaupun amat memenatkan, namun saya berasa sangat seronok. Pada akhir program, saya tidak melepaskan peluang untuk menyertai rewang bersama penduduk kampung. Pada waktu tersebut, saya menolong ibu angkat memotong sayur-sayuran seperti lobak, kobis dan juga bawang sehingga menyebabkan mata saya berair. Selepas itu, saya dan rakan-rakan yang lain membersihkan ayam sebanyak 50 ekor. Sememangnya, aktiviti rewang ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kami dan penduduk kampung.

Konklusi yang dapat saya katakan sepanjang program ini dijalankan ialah banyak nilai murni dan pengajaran yang dapat saya pelajari bersama rakan-rakan dan penduduk kampung. Melalui program seperti ini, saya dapat mengenali cara kehidupan mereka dengan lebih mendalam. Dengan melihat ketidakcukupan pada kehidupan masyarakat orang asli, saya berasa amat bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan saya yang bertungkus-lumus untuk menjayakan program ini. Sesungguhnya, pengalaman seperti ini tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit.

Comments

Popular Posts